Dalam tradisi masyarakat Melayu, Aidilfitri atau yang disebut
Hari Raya Puasa disambut besar-besaran. Bahkan dalam masyarakat Melayu pada
hari ini Hari Raya Aidilfitri disambut sehingga sebulan dengan acara rumah
terbuka terutamanya masyarakat Melayu di Bandar.
Hal ini berbeza dengan suasana di Tanah
Arab. Sambutan besar sebenarnya lebih tertumpu kepada Aidiladha atau yang
disebut Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban oleh masyarakat Melayu. Ini berlaku kerana sambutan Aidilfitri sebenarnya hanya disambut
dalam satu hari sahaja, bahkan takbir untuk Aidilfitri hanya bermula dari malam
1 Syawal sehingga selesai solat sunat Aidilfitri. Ini berbeza dengan Aidiladha
di mana takbir bermula dari malam 10 Zulhijjah sehingga ke tamat hari Tasyrik
iaitu pada 13 Zulhijjah. Ini bermakna Aidiladha disambut selama tiga hari
dengan dipenuhi dengan ibadah haji dan korban.
Aidiladha merupakan perayaan yang dirayakan umat Islam di
seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam
selain Aidilfitri. Aidiladha disambut pada 10, 11. 12 dan 13 Zulhijjah setiap
tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, ia diikuti
dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhjjah dan kemudian
dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada siang 10, 11, 12 atau 13
Zulhijjah.
Berbeza dengan sambutan Aidilfitri, Aidiladha biasanya disambut
secara sederhana oleh kebanyakan masyarakat Islam di Negara kita. Ada
sebahagian masyarakat Islam gagal untuk menghayati maksud sebenar disebalik
sambutan Hari Raya Aidiladha ini dan akhirnya mereka hanya menyambut Aidiladha
dengan berehat di rumah dan bercuti seperti hari biasa mereka bercuti, berbeza
dengan sambutan mereka ketika menyambut Aidilfitri, ini menunjukkan penghayatan
terhadap pengertian Aidiladha yang besar itu tidak lagi wujud dalam masyarakat
kita.